Pages

Friday 24 February 2017

Maafkan umi

Entri  : 54

Penulis  :  Ainorhidayah Binti Zulkipli

Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum anak – anak umi,

Maafkan umi kerana tidak dapat jadi seorang umi yang sempurna dimatamu. Maafkan umi kerana tidak melayan anak – anak umi dengan belaian kasih sayang. Maafkan umi kerana tidak dapat memenuhi segala keinginanmu. Maafkan umi kerana mengabaikan tanggunjawab umi  terhadapmu. Maafkan umi kerana gagal mengawal perasaan emosi lalu memarahimu anak – anak umi. Maafkan umi kerana tidak sempurna memberi asuhan dan didikan yang terbaik. Umi memohon maaf diatas ketidaksempurnaan umi sepanjang bersamamu wahai anak – anak umi.
Ketidaksempurnaan seseorang akan mendorong untuk kita melakukan yang lebih baik dan menjadi lebih baik apabila kita berilmu. Pengalaman kehidupan seseorang akan mendorong untuk kita berubah jadi yang lebih baik. Ambillah iktibar pengajaran dan pengalaman untuk mematangkan kita supaya lebih berdikari mengharungi liku – liku kehidupan.

Anak – anak umi,

Sejujurnya dengan nama Allah, umi sayangkan anak – anak umi dunia dan akhirat. Umi tidak mahu anak – anak umi ketinggalan dari mencari ilmu dunia dan akhirat. Pesan umi, dirikan solat walaupun dimana kamu berada.  Bacalah al quran setiap hari agar kamu tidak leka dan lalai dengan kebendaan dunia yang sementara. Berbaktilah dan beramal ke arah kebaikan yang boleh membawa kamu ke syurga. Lakukanlah yang terbaik dengan ikhlas agar nikmat kepuasan dimiliki. Berdoalah kepada Allah, minta apa saja kepadaNYA agar kamu tidak menjauhi dariNYA. Apabila kita mendirikan solat dan membaca ayat – ayat al quran akan tenang jiwa kita.

Wahai anak – anak syurga,

Nasihat dan pesanan umi, ingatlah sehingga akhir hayatmu. Tiada ibu bapa yang tidak sayangkan anak – anaknya. Walaupun ada ketikanya hatimu terluka dan kecewa dengan tegurannya itu adalah kerana mendidikmu. Walaupun ada ketikanya kamu merasa sunyi sapaan ibubapa kerana mencari rezeki untuk membesarkanmu wahai anak – anak umi. Adakalanya kamu membesar tanpa kasih sayang ibu bapa tetapi kamu akan belajar berdikari tanpa ibubapa. Kejarlah cita – citamu setinggi manapun tapi jangan sampai kamu melupakan Allah. Dekatkan dirimu dengan Allah.

Anak – anak umi,

Sekiranya umi pergi dulu mengadap illahi, janganlah tangisi pemergian umi. Redhalah dan berdoalah kepada Allah semoga dicucuri rahmatNYA, diampunkan dosa – dosa umi, dan kita akan berjumpa di syurga nanti. Sedekahkanlah al fatihah untuk umi nanti. Apabila umi sudah tiada, anak – anak syurga umi tidak akan kehilangan kasih sayang umi. Tidak akan hilang gurau senda, tidak akan hilang senyuman dan gelak tawa kerana ia sentiasa wujud dan ada dalam diri anak – anak umi selama – lamanya. Umi berserah kepada Allah masa depan, hayat dan rezeki, keselamatan serta kehidupan anak – anak umi. Semoga Allah memberkati dan permudahkan urusan anak – anak umi. Doa umi sentiasa mengiringi perjalanan anak – anak umi. Semoga anak – anak umi menjadi anak yang solehah.


Genggamlah sekeping impian. Bawalah sebuah harapan dalam genggaman impian. Bangkitlah dari mimpi yang kosong, Kutiplah keyakinan, Binalah sebuah kejayaan yang akan membawa kebahagiaan dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment