Pages

Sunday 22 May 2016

PENGACARA MAJLIS

Entri : 48

Penulis : Ainorhidayah Binti Zulkipli

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Salam ceria dan salam ukhwah kepada semua sahabat. Berfikiran Positif dan optimis akan membawa  kepada pemikiran yang lebih matang. Mudahan hadirnya akan memberi impak yang lebih baik dan bermakna dalam kehidupan. Semoga apa yang direncanakan  akan berkesudahan dengan baik dan membawa kepada keberkatan dalam hidup. Sekaligus akan menyenangkan kepada orang lain. Itulah ilmu yang disampaikan atau perkara yang dilakukan yang memberi manfaat kepada orang lain. Itulah amal jariah yang disedekahkan dan diamalkan sebaik mungkin. 

Perkongsian ilmu kali ini adalah berkaitan dengan Pengacara Majlis. Hendak dijadikan cerita, anda terpaksa menjadi pengacara majlis tangkap muat. Dengan tiada pengalaman, tiada pengurusan skrip pengacara majlis sedikit sebanyak akan membuatkan diri rasa takut, gugup, gelabah dan bermacam - macam lagi perasaan lain yang akan hadir. Rasa nak marah pun ada, bila dipanggil secara mengejut dengan tiada persediaan. Itulah dia, asam garam dalam perjalanan untuk menjadi atau menguruskan sesuatu majlis yang melibatkan pengacara majlis. Secara rasminya ada protokol. 

Secara umumnya, apabila kita dilantik sebagai pengacara majlis banyak maklumat yang kita kena tahu. Contoh Tarikh, Masa dan tempat majlis diadakan. Aturcara majlis. Senarai VVIP yang hadir, Siapa jemputan dalam majlis tersebut. Paling senang pun minta dari AJK kertas kerja. Dalam kertas tersebut sudah cukup maklumat yang patut diketahui.

Dalam mengacara majlis, kali pertama mesti kita rasa ada cacat atau yang tidak kena. Pengalaman akan ajar kita dan membantu memperbaiki kelemahan. Kita akan lebih matang dan positif dalam mengacara sesuatu majlis.

Apa yang membuat lebih motivasi ialah keseronokkan apabila kita sudah tahu langkah - langkah perjalanan dalam mengacara majlis. Lebih tenang, tidak gopoh dan berhati - hati dengan sebutan akan membuatkan kehadiran keyakinan. Datang sebuah senyuman dengan diiringi kesyukuran apabila selesai majlis. Itulah nikmat dirasai menjadi pengacara majlis. Kita akan dipanggil lagi untuk menjadi pengacara majlis apabila pihak urusetia puashati dengan persembahan yang dihidangkan. Yang baik datang dari Allah swt dan yang kurang dari dari kelemahan saya. Harap dimaafkan jika ada yang kekurangan. Wallhualam.

Thursday 19 May 2016

KELAHIRAN MELALUI CAESAREAN (PEMBEDAHAN) DAN PENYUSUAN IBU

Entri : 47

Penulis : Ainorhidayah Binti Zulkipli

Terlebih dahulu izinkan saya, sedekahkan surah al fatihah kepada ibubapa dan ahli keluarga, semua sahabat serta umat islam. Semoga Allah swt memberi petunjuk, kekuatan dan ketenangan jiwa dalam hidup ini. Semoga memperoleh keberkatan hidup.

Saya mempunyai dua orang cahaya mata. Kedua - dua anak saya dilahirkan melalui caesarean. Semua wanita mengharapkan proses kelahiran yang normal tapi kita yang merancang Allah swt telah aturkan yang terbaik untuk kita. Anak yang pertama bermula apabila tiada pergerakkan bayi dalam perut (kurang dari 9 kali). Esok nak raya, malam ini masuk wad. Beraya saya dalam wad. Sepatutnya memang tunggu hari untuk bersalin. Dah 9 bulan. Sekejap - sekejap doktor dan jururawat datang melihat keadaan pesakit. ''Oh, baru buka 5 cm", kata doktor. Aku yang tiada pengalaman ni, angguk sajalah. Tunggulah sehingga keesokannya. tiada perubahan. Terpaksa induce bagi memudahkan dan kelancaran proses kelahiran. Induce pun tidak jalan. Ada juga rasa kontraksi Doktor menjelaskan terpaksa membuat pembedahan kerana risiko pada ibu dan bayi. Aku terpaksa akur. Alhamdulillah, secara pembedahan bayi dapat dikeluarkan. 

Kisah anak yang kedua pula, dah cukup tempoh dan menunggu hari untuk bersalin. Doktor mencadangkan agar bersalin secara normal dan ikut tarikh yang sepatutnya tetapi lain pula yang berlaku. Semasa membuat pemeriksaan ECG, graf tidak memuaskan. hasil pemeriksaan doktor memaklumkan bayi telah minum air ketuban. Bahaya pada bayi. Secara tidak langsung, maka bayi yang kedua pun melalui pembedahan juga.

Errrmmmm, berpantang wanita bersalin secara normal dan pembedahan tidak sama. Ada yang boleh ikut dan perlu dilakukan kemudian. Tapi, saya dulu air gamat, pati ikan haruan, ikan haruan bakar saya makan sebab konon - konon boleh baik dengan cepat. Bila selepas mandi, bahagian jahitan harus dilapkan dengan bersih. Kemudian, jahitan biarkan terdedah beberapa seketika untuk betul betul kering. Bengkung pun pakai tapi selepas beberapa minggu selepas proses kelahiran. 

Alhamdulillah, kedua - dua anak saya diberikan susu badan sepenuh masa walaupun saya bekerja sehingga lebih 2 tahun anak menyusu badan. Tiada campuran dengan susu tepung. Saya minum jus pegaga, barli dan milo. Apa saja bahan minuman atau makanan yang boleh menambah susu ibu, saya akan mencuba. Kita berikhtiar, Allah swt yang menentukan. Susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi.

Kita seharusnya mempunyai ilmu pengetahuan berkaitan penyusuan ibu. Amat merugikan kita sebagai ibu tidak memberi susu ibu kepada bayi kita. Apa yang disebutjan dalam al quran 
'' Dan ibu ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap bagi orang yang hendak menyempurkan penyusuan itu: dan kewajipan bapa ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.
Surah al baqarah ayat 233


Wednesday 18 May 2016

JASA BONDA

Entri : 46

Penulis : Ainorhidayah Binti Zulkipli

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan Salam Sejahtera ........

Kedengaran pula lagu Jasa Bonda yang diputarkan oleh sebuah stesen radio tanah air. Aku termenung memikirkan masih ada adakah harapan atau peluang untuk aku berbakti kepada emak? Masih ada masakah untuk aku merebut pahala? Masih sempatkah untuk aku lakukan semua itu? . Atau adakah sebaliknya. Jawapannya masih masih masih. Tiba - tiba aku tersentak oleh panggilan angah.

 "Umi, umi kenapa", tanya Angah

" Tiada ada - ada", ujar aku.

Aku melihat wajah anak - anak. Menitis air mata. Terlalu cepat masa anak - anak membesar. Entah bila kali terakhir aku mendengar, anak - anak cakap pelat. Entah bila, aku melihat anak - anak belajar bertatih. Entah bila, aku menangis apabila mendengar sebutan umi atau ayah buat kali pertamanya. Entah bila, aku boleh meluangkan masa dan waktu untuk anak - anak. Telah banyak coletahan anak - anak aku abaikan kerana sibuk urusan sendiri. Entah bila melihat anak - anak makan di atas meja dengan kegembiraan. Entah bila, kali terakhir tangan ini memandikan anak - anak.

Kini, anak - anak telah melangkah kaki ke alam persekolahan. Cabaran baru akan diharungi di dalam sebuah kehidupan. Suasana yang berlainan akan membawa jauh perjalanan anak - anak meningkat alam remaja dan dewasa. Menimba ilmu Pengetahuan dan mencari pengalaman di rantauan. Dalam redhaan, demi mencari ilmu dilepaskan anak - anak pergi walaupun kesedihan dirasai. Doa ibu sepanjang hayat. Memohon pada padaMU Ya Rabbi, lindungilah anak - anakku ketika dia berada di mana - mana sahaja. Engkau peliharalah anak - anakku. Lapangkanlah rezeki mereka dan mudahkan segala urusan mereka. Jadikan mereka anak yang soleh dan solehah.

 Ibu dan ayah pula semakin tua menghitung sisa sisa kehidupan dari hari ke hari. Membilang masa. Menunggu saat kepulangan anak apatah lagi panggilan telefon. Itulah jadi orang tua menanggung beban rindu pada anak - anak.


Itulah aturan kehidupan. Allah dah aturkan yang terbaik untuk kita. Dari bayi, kanak - kanak, remaja, dewasa dan akhir sekali tua. Semua akan merasa bila masa sudah tiba. Dari seorang, dijadikan kita berdua. Dari berdua dijadikan bertiga atau lebih dari itu. Kemudian, kita hanya akan tinggal berdua saja dengan pasangan apabila anak - anak mempunyai kehidupan sendiri. Kita akan tinggal bersendirian apabila pasangan kita telah pergi menghadap illahi.

Monday 16 May 2016

PERGORBANAN SEORANG GURU

Entri  ;  45

Penulis  : Ainorhidayah Binti Zulkipli

Assalamualaikumwarahmatullahiwarakatuh.....

Saya doakan semoga para pembaca blog diberi kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan berjaya dunia dan akhirat. Marilah kita sama - sama sedekahkan surah Al fatihah kepada diri sendiri, ibubapa, suami/isteri serta anak - anak dan saudara islam dan selawat buat junjungan Nabi Muhamad saw.

Pada 15 Mei 2016 yang lalu, sekolah tadika anakku belajar telah mengadakan Hari Sukan bertemakan tradisonal. Oleh kerana tahun 2016 merupakan tahun terakhir dia di sana. Aku secara sukarela untuk menjadi hakim (judges) dalam permainan hari sukan tersebut.

Apa yang nak disampaikan adalah proses pembelajaran anak - anak.  Anak - anak baru belajar nak kenal hidup dan dunia. Banyak perkara yang perlu bantuan seorang guru.  Besar pengorbanan guru dalam pembentukan akhlak, didikan dalam memberi ilmu pada  anak - anak. Bayangkan, peredaran masa begitu pantas berlalu. Proses pembelajaran ilmu tidak sama seperti dahulu. Kita harus berubah fikiran menjadi lebih positif.

Apa yang saya lihat, ketabahan seorang guru mengajar dan memperkenalkan huruf - huruf pada anak - anak. Mengajar murid sekolah tadika tidak sama dengan mengajar  murid darjah satu. Betul kata orang, IQ dan perkembangan setiap adalah tidak sama. Bergantung kepada keadaan dan sokongan ibubapa untuk mendorong perkembangan yang lebih baik. Ada anak - anak pula yang cepat menerima proses pembelajaran dari  guru. Dan tidak hairanlah, anak - anak yang berumur empat tahun sudah boleh membaca serta mengingat dan menhafaz surah - surah yang pendek.

Contoh. Dalam permainan tersebut, anak - anak pilih gambar buah dan nama buah tersebut. Ibubapa diluar sana sorak seronok melihat anak - anak bersaing dalam permainan tersebut. Gambar tersebut adalah buah manggis. Ibubapa seronok sangat, jeritlah manggis. Anak - anak tidak menjumpai perkataan manggis.  Perkataan yang ada tertulis mangosteen.  Bila guru sebut mangosteen, baru dia faham. Contoh lain, permainan menggunakan kasut trompah. Kita melihat benda tersebut suatu perkara yang mudah tetapi bagi anak - anak terlalu sukar untuk dilakukan tanpa sokongan guru. Anak - anak nak belajar seimbangkan badan dan memegang tali untuk berjalan ke garisan penamat. Ibubapa bersorak mahu anak menang tapi itulah cabaran seorang anak. Bukan mudah rupanya. Begitulah guru - guru apabila mendidik anak - anak kita. Contoh lain pula, asingkan benda float and sink (tenggelam dan timbul). Ada anak - anak yang tahu bezakan dan asingkan benda tersebut serta ada yang tidak tahu.

Kesimpulannya, peranan ibubapa teramat besar dan berat dalam mendidik anak - anak. Tidak hanya bergantung kepada guru sahaja. Ibubapa hendaklah mempunyai ilmu dalam pengetahuan segala hal. Sekiranya kita tidak ada ilmu, harus bagaimana kita mahu membantu anak - anak dalam pelajaran. Tidak banyak pun tidak mengapa, sedikitpun telah memadai. Sekurangnya kita berusaha dan cuba untuk membantu pelajaran anak. Berdoalah kepada Allah swt semoga kita mempunyai anak yang soleh dan solehah.


Tuesday 10 May 2016

CARA KEMBALIKAN GAMBAR PADA ASAL (THUMBNAIL)

Entri 44

Penulis : Ainorhidayah Binti Zulkipli

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh & Salam Sejahtera.


Saya nak tanya kepada anda semua? Pernah atau tidak berlaku dalam urusan kerja seharian anda menggunakan komputer, berlaku apabila nak tengok gambar keluar icon macam ini .
Sekiranya ada, anda jangan risau. Icon tersebut boleh diubah kembali kepada asal untuk melihat gambar yang hendak ditampilkan.

Saya menggunakan window 7.

Langkah :
1. Anda terus klik Folder My Picture. Contoh : Menu Start - Picture. 

2. Kemudian, lihat pada menu sebelas atas tertera  organize (klik) - Pilih dan klik Folder and search options 
3. Selanjutnya, akan keluar tab (Folder Option) - Klik view
4. Apabila view sudah di klik, anda akan melihat perkataan Advanced Setting. Anda akan memilih File and Folder - Always Show Icon, never thumbnails - Kemudian buangkan klik pada pada Always Show Icon, never thumbnails .
5. Akhir sekali, anda tekan apply dan OK. Selamat Maju Jaya. Anda akan melihat icon tesebut akan bertukar.

Monday 9 May 2016

CARA CROP GAMBAR PADA MS WORD

Entri 43

Penulis : Ainorhidayah Binti Zulkipli

Assalamualaikum.....

Doa saya pada hari ini, kepada semua pembaca blog mudahan anda semua sihat walafiat. Dimurahkan rezeki dan dikurniakan keberkatan dalam redha Allah swt. 

Perkongsian kali ini adalah cara crop gambar melalui microsort office 2010.

Langkah :

1. Buka ms office - copy & paste atau insert gambar yang dikehendaki pada ms office. Contoh :


2.  Klik pada gambar - lihat menu bar - klik format





3. Cuba perhatikan pada gambar. Apabila crop dan klik terdapat bingkai hitam pada bucu             gambar. 
4. Kemudian, Adjust atau laraskan bentuk yang kehendaki.
5. Atau klik anak panah pada crop dan boleh memilih bentuk yang disukai.
6. Jika sudah setuju gambar yang dikehendaki, gambar tersebut boleh crop dan save (simpan).
7. Selamat mencuba. Terima kasih.

Sunday 8 May 2016

ISTIQAMAH

Penulis : Ainorhidayah Binti Zulkipli
Catatan : 42

Alhamdulillah. Akhirnya  saya ada sedikit masa lagi untuk meneruskan penulisan di blog pada hari ini. Sahabat - sahabat yang positif, semoga anda ceria sokmo dan diberkati. Harapan saya semoga urusan anda pada hari ini telah selesai dengan baik.

Saya sekadar berkongsi cerita dari seorang kawan yang bernama Amanda. Amanda memberitahu dia mahu berubah. Dia mahu solat dan mengaji al quran. Sudah lama dia pendamkan hasratnya itu tapi takut dia akan ditertawakan dan dijadikan bahan ejekan. Amanda merupakan seorang yang perwatakan yang baik. Eeeerrrrm, patutlah dia ada bagitahu nak cakap sesuatu.

Hati mula terdetik nak berubah, dia melihat persekitaran tempat kerja. Kakitangan yang solat, ada yang membuka video bacaan al quran. Dari situ, dia telah mula menanam niat untuk berubah. Ya Allah, permudahkanlah urusannya untuk dia mendekatkan diri kepadaMU Ya Allah.

Sebenarnya aku pun tidaklah berapa arif sangat tapi seorang kawan hendak berubah menjadi insan solehah aku cuba bantu semampu yang boleh. Aku bawa dia ke kedai buku untuk membeli buku yang berkaitan dengan solat. Aku hadiahkan dia senaskah al quran. Dalam telefon bimbit dia aku muat turun zikir - zikir, qasidah dan alunan ayat suci al quran. Mudahanya ada hikmat keberkatan apa yang aku buat. Dalam masa yang sama, aku ajak dia dengar ceramah ilmu agama untuk kaum muslimat di taman perumahan aku. Memanglah malu, sebab yang ada semua makcik - makcik tapi kena ingat nak belajar ilmu ini tidak boleh malu - malu. Suatu hari, Amanda diberikan jawatan yang lebih baik dan berpindah ke tempat baru. Apa yang terjadi?

Khabar yang terbaru aku terima. Dia bersahabat dia seorang pekerja biasa tetapi latar belakangnya sahabat tersebut adalah budak dari maaahad tahfiz. Alhamdulillah, kini Amanda telah mula mempelajari ilmu bacaan al quran. Solat lima waktu. Dhuha pun dia buat. Banyak perubahan, dia banyak libatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan di luar. Dia cakap, setiap malam dia bangun solat hajat, taubat dan tahajjud. Banyak ceramah ilmu agama yang dihadirinya untuk dipelajari. Istiqamah.

Kesimpulannya, bila kita betul - betul nak berubah suatu arah kebaikan. Allah swt akan mudahkan urusan kita. Dia akan menemukan kita dengan orang yang baik untuk membimbing. Tapi yang penting, kena istiqamah. Aku terharu melihat kejayaannya dan perubahan yang telah dilakukan. Terima kasih Ya Allah kerana beri kesempatan dan peluang untuk bertaubat.


HIDUP BERDIKARI

Penulis : Ainorhidayah Binti Zulkipli
Catatan :41

Assalamualaikum.......

Sebelum saya meneruskan tarian skrip penulisan ini. Izinkan saya mengucapkan Alhamdulillah kerana dengan keizinannya saya diberi kesempatan dan ruang untuk meneruskan blog. Selagi saya diberi nafas yang percuma, selagi saya diberi kesihatan yang baik, saya akan cuba menggunakan blog ini sebagai medan perjuangan saya samaada berniaga, menulis dan berdakwah selagi tidak bercanggah dengan ajaran islam.

Harapan saya, semoga pembaca blog ini, sentiasa berada didalam sihat walafiat disamping insan yang tersayang. Semoga kehidupan anda dilimpahi dengan keberkatan rezeki dari Allah swt. Saya doakan semoga anda dipermudahkan semua urusan. Percayalah, selagi kita berdoa,yakin dan terus istiqamah. Ada jalannya penyelesaian.

Saya bukan datang dari keluarga yang senang. Tapi pengalaman hidup, banyak mengajarkan saya hidup berdikari. Ayah telah meninggal dunia ketika saya berusia 10 tahun. Emak seorang saja membesarkan saya dan abang abang yang lain. Bagaimana emak mengharungi liku - liku kehidupan sebagai seorang balu? Menggalas tanggungjawab seorang ayah dan emak dalam satu masa serta membesarkan kami adik beradik? Macam mana emak boleh kuat? Semuanya kerana Allah swt. Emak yakin anak - anak adalah amanah. Hidup harus diteruskan. Hanya doa, ketabahan dan kecekalan serta kesabaran yang ada dalam diri emak membuatkan emak semangat.

Bagaimana emak menguruskan perancangan ekonomi di rumah? Bayar bil? Beli barang? Semuanya seorang diri tanpa insan yang digelar suami. Nak ke mana - mana semuanya sendiri. Tiada kenderaan. Ketika emak bekerja, keluar rumah seawal 6am. Anak - anak emak hanya berserah kepada Allah swt untuk melindungi.
Kami adik beradik tidak banyak masalah berkaitan makan. Kami akan makan apa yang dihidang. Semasa ada arwah pun, kepala ikan bilis pun kami makan.

Adakalanya, bila hampir nak masuk bulan puasa, Emak akan bawa balik kotak besar dengan bas dan jinjing kotak tersebut ke rumah. Bila sampai rumah, baru kami tahu itulah adalah baju raya yang dibeli oleh mak. Besarnya pengorbanan emak. Apa perasaan anda? Dari pengalaman hidup saya, Saya membesar tanpa kasih sayang seorang ayah namun saya ada emak yang memberikan khidmat setianya kasih sayangnya pada anak.

Zaman kanak - kanak saya telah diajar untuk berdikari. Saya pergi ke mana - mana hanya seorang diri apabila diminta untuk menguruskan  hal - hal yang melibatkan urusan keluarga. Apabila abang - abang saya tinggal berjauhan dengan emak, saya akan menemani emak. Lampu rosak. Saya akan ganti dengan lampu yang lain. Saya seorang perempuan. Tidak tahu apa langsung berkaitan lampu. Tapi itulah, bila kita tahu kehidupan kita macam mana. Ada kekuatan yang datang. Betul tak? Emak pernah bekerja di PPUM. Saya pergi sendiri PPUM  dengan menaiki bas. Apa yang anda rasa?

Tiba hari raya, Kami balik kampung dengan keretapi atau bas. Apabila emak ada urusan di kampung sebelah ayah. Saya dan emak akan rancang dan naik kenderaan apa ke sana. Kami, pernah tidur di kaki lima kedai ketika sampai dan menunggu masa untuk subuh. Bayangkan saya dan emak perempuan. Ada seorang abang OKU sewaktu itu. Dengan hujan renyai. Kedengaran sayup suara anjing menyalak. Apa yang kalian fikir? Suasana dan pengalaman macam itu tidak  dapat dimiliki hanya apabila kita merasainya.

Hari ini, kita bertuah kerana masih lagi mempunyai ibu dan ayah. Masa silam tidak akan kembali lagi. Kesal memang tetap ada sekiranya sewaktu dulu kita lupa apa yang sepatutnya dibuat oleh seorang anak. Apa yang ada adalah masa hadapan. Selagi kita bernyawa, berbaktilah kepada ibu bapa. Gunakan kesempatan yang ada untuk berbakti. Ingatlah janji Allah swt.