Entri : 54
Penulis : Ainorhidayah Binti Zulkipli
Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum anak – anak umi,
Maafkan umi kerana tidak dapat jadi seorang umi yang
sempurna dimatamu. Maafkan umi kerana tidak melayan anak – anak umi dengan
belaian kasih sayang. Maafkan umi kerana tidak dapat memenuhi segala
keinginanmu. Maafkan umi kerana mengabaikan tanggunjawab umi terhadapmu. Maafkan umi kerana gagal mengawal
perasaan emosi lalu memarahimu anak – anak umi. Maafkan umi kerana tidak sempurna
memberi asuhan dan didikan yang terbaik. Umi memohon maaf diatas
ketidaksempurnaan umi sepanjang bersamamu wahai anak – anak umi.
Ketidaksempurnaan seseorang akan mendorong untuk kita
melakukan yang lebih baik dan menjadi lebih baik apabila kita berilmu.
Pengalaman kehidupan seseorang akan mendorong untuk kita berubah jadi yang
lebih baik. Ambillah iktibar pengajaran dan pengalaman untuk mematangkan kita
supaya lebih berdikari mengharungi liku – liku kehidupan.
Anak – anak umi,
Sejujurnya dengan nama Allah, umi sayangkan anak – anak umi
dunia dan akhirat. Umi tidak mahu anak – anak umi ketinggalan dari mencari ilmu
dunia dan akhirat. Pesan umi, dirikan solat walaupun dimana kamu berada. Bacalah al quran setiap hari agar kamu tidak
leka dan lalai dengan kebendaan dunia yang sementara. Berbaktilah dan beramal ke
arah kebaikan yang boleh membawa kamu ke syurga. Lakukanlah yang terbaik dengan
ikhlas agar nikmat kepuasan dimiliki. Berdoalah kepada Allah, minta apa saja
kepadaNYA agar kamu tidak menjauhi dariNYA. Apabila kita mendirikan solat dan
membaca ayat – ayat al quran akan tenang jiwa kita.
Wahai anak – anak syurga,
Nasihat dan pesanan umi, ingatlah sehingga akhir hayatmu. Tiada
ibu bapa yang tidak sayangkan anak – anaknya. Walaupun ada ketikanya hatimu terluka
dan kecewa dengan tegurannya itu adalah kerana mendidikmu. Walaupun ada
ketikanya kamu merasa sunyi sapaan ibubapa kerana mencari rezeki untuk
membesarkanmu wahai anak – anak umi. Adakalanya kamu membesar tanpa kasih
sayang ibu bapa tetapi kamu akan belajar berdikari tanpa ibubapa. Kejarlah cita
– citamu setinggi manapun tapi jangan sampai kamu melupakan Allah. Dekatkan
dirimu dengan Allah.
Anak – anak umi,
Sekiranya umi pergi dulu mengadap illahi, janganlah tangisi
pemergian umi. Redhalah dan berdoalah kepada Allah semoga dicucuri rahmatNYA,
diampunkan dosa – dosa umi, dan kita akan berjumpa di syurga nanti.
Sedekahkanlah al fatihah untuk umi nanti. Apabila umi sudah tiada, anak – anak syurga
umi tidak akan kehilangan kasih sayang umi. Tidak akan hilang gurau senda,
tidak akan hilang senyuman dan gelak tawa kerana ia sentiasa wujud dan ada
dalam diri anak – anak umi selama – lamanya. Umi berserah kepada Allah masa
depan, hayat dan rezeki, keselamatan serta kehidupan anak – anak umi. Semoga
Allah memberkati dan permudahkan urusan anak – anak umi. Doa umi sentiasa
mengiringi perjalanan anak – anak umi. Semoga anak – anak umi menjadi anak yang
solehah.
Genggamlah sekeping impian. Bawalah sebuah harapan dalam
genggaman impian. Bangkitlah dari mimpi yang kosong, Kutiplah keyakinan,
Binalah sebuah kejayaan yang akan membawa kebahagiaan dunia dan akhirat.